COVID-19: BIMBINGAN SYARA DAN ISU-ISU IBADAT
Dalam negara berusaha menangani wabak COVID-19, Bahagian Buhuth dan Irsyad, Jabatan Mufti Kerajaan telah mengambil inisiatif menyampaikan bimbingan hukum (irsyâd) tentang tatacara/panduan menghadapi wabak COVID-19 menurut syariat Islam di samping menghuraikan beberapa permasalahan atau isu-isu ibadat yang berbangkit di dalam situasi wabak COVID-19. Inisiatif ini dizahirkan di dalam ruangan Irsyad Hukum di Akhbar Rasmi Kerajaan Pelita Brunei sebagai kesinambungan daripada ceramah Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan yang bertajuk “Apa Kata Mufti Mengenai COVID-19” yang disiarkan di Radio dan Televisyen Brunei sebanyak tiga siri.
Penulisan bimbingan hukum ini, kemudian diterbitkan dalam bentuk buku. Khusus dalam Bahagian Pertama, buku setebal 98 muka surat ini mengongsikan beberapa panduan yang perlu diikuti dalam menghadapi wabak menurut syariat Islam antaranya dengan bermunâjât kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ iaitu galakkan membaca Qunut Nazilah, kelebihan mendirikan sembahyang sunat Hajat, memperbanyakkan istighfar, doa dan zikir; bersangka baik kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala, mengamalkan kebersihan, mencegah daripada sebarang kemudharatan, menjaga adab bersin dan mentaati perintah pihak berautoriti.
Bahagian Kedua buku ini pula mengetengahkan beberapa isu permasalahan hukum mengenai ibadat yang timbul semasa penularan wabak seperti hukum berkaitan sembahyang Jumaat, sembahyang berjemaah, hukum mentaati ulil-amri, hukum memakai penutup muka dan penggunaan hand sanitizer ketika sembahyang.
Secara rengkas buku ini menggariskan sembilan langkah sebagai tindakan dan peringatan dalam menghadapi COVID-19 terutama dalam melaksanakan dan mematuhi saranan/nasihat (Standard Operating Procedure (SOP) pihak berkuasa dalam menghindari jangkitan dan penularan wabak penyakit; dan penyelesaian beberapa persoalan dan keraguan hukum yang berkaitan dengan ibadat sembahyang.